Social Icons

Pages

Tuesday 8 July 2014

Zaiton Othman ikon sukan SMK Bukit Indah


ZAITON Othman (tengah) bergambar bersama guru dan pelajar pada majlis pelantikan Ikon Sukan dan PPDa SMK Bukit Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah Ampang, Selangor melantik Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara yang juga bekas olahragawati kebangsaan, Datuk Zaiton Othman sebagai ikon sukan untuk membantu mengukuhkan aspek kepimpinan dan pengurusan sukan di sekolah itu.
Majlis penyampaian watikah pelantikan itu disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) SMK Bukit Indah, Mohd Shukri Mohd. Nadzir sempena Kejohanan Sukan Tahunan Kali ke-5 di padang sekolah itu baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengetua Sekolah, Norliah Ismail.
Menurut Norliah Ismail, pelantikan Zaiton yang juga seorang bekas atlet heptatlon negara memang tepat pada masanya memandangkan sekolah ini memerlukan seorang tokoh muda yang boleh diteladani dari aspek kepimpinan dan kerjaya profesional dalam bidang kesukanan.
"Keperibadian yang unggul serta kejayaannya boleh diteladani oleh pelajar sekolah dan dengan kerjasama ini akan membantu melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan tersebut yang akan menjadi teras kepada masa depan sukan di negara kita," katanya pada majlis berkenaan.
Norliah berkata, pihak sekolah akan melibatkan ikon berkenaan dalam kegiatan kemasyarakatan, kepimpinan, motivasi dan pengurusan untuk merangsang pelajar sekolah itu cemerlang seiring dengan hala tuju transformasi pembangunan negara menjelang 2020.
"Pada masa sama, kita juga melantik Zaiton sebagai ikon Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) sekolah ini," katanya.
Sementara itu, Zaiton berkata, beliau menyifatkan pelantikannya sebagai ikon sukan dan PPDa merupakan satu penghormatan baginya.
"Saya amat bersyukur dan menghargai pengiktirafan dan beriltizam akan membantu berasaskan pengetahuan profesional dan pengalaman untuk menggerakkan usaha persatuan ini menerusi semua bidang.
"Ini termasuk menerusi peranan saya sebagai ikon PPDa di sekolah ini yang berjaya menjadi pusat rujukan serta kesedaran berkaitan masalah dadah dalam kalangan pelajarnya termasuk kesan buruk penglibatan atlet dengan penagihan najis dadah," tegasnya.
 
Blogger Templates